Berita SemasaPM X

[VIDEO] Percukaian negara tidak harus membebankan rakyat, komuniti perniagaan – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan pelaksanaan sistem cukai negara tidak akan membebankan rakyat dan mereka yang terlibat dalam komuniti perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip percukaian sepatutnya dilaksanakan mengikut keperluan negara dan tidak boleh melebihi kadar sepatutnya.

@malaysiatribune

Percukaian itu penting, tetapi jangan sehingga menjadi beban. – Anwar #malaysiatribune #anwaribrahim #lhdn #nationaltaxconference2023

♬ bunyi asal – malaysia tribune – malaysia tribune

“Cukai itu satu keperluan tapi jangan sesekali terlebih cukai. Ini prinsip yang kita kena laksanakan. Ini juga perubahan yang kita kena buat dalam pembentangan bajet akan datang.

“Kita akan formulakan berdasarkan prinsip bahawa percukaian tidak akan membebankan rakyat dan juga komuniti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan anjuran bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Institut Percukaian Malaysia (CTIM), di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LHDM Datuk Dr. Mohd. Nizom Sairi, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Presiden CTIM, Chow Chee Yen.

Perdana Menteri berkata, bertepatan dengan prinsip Ekonomi Madani yang baharu dilancarkan, dasar percukaian juga perlu memperlihatkan negara menyediakan peluang perniagaan yang menguntungkan.

Justeru katanya, LHDN sebagai agensi yang bertanggungjawab harus memikul tanggungjawab itu dengan baik bagi memastikan dasar kewangan negara tidak disalahgunakan.

Katanya, kaedah percukaian yang lebih canggih, lebih telus dan terikat kepada tatakelola yang baik untuk mengelak sebarang salah laku dan ketirisan akan menjadi pendekatan utama.

“Kerajaan, LHDN dan agensi-agensi berkaitan harus kerjasama sebagai sebuah keluarga untuk memastikan keberkesanan percukaian negara,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memuji prestasi LHDN dalam pelaksanaan kutipan cukai negara.

Persidangan Cukai Kebangsaan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button