Politik

[VIDEO] Pengalaman 40 tahun dalam perkhidmatan awam akan digunakan bantu penduduk Dengkil – Jamil

CYBERJAYA – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh akan menggunakan kepakaran dan pengalamannya selama 40 tahun dalam perkhidmatan awam bagi membantu penduduk Dengkil dan Selangor amnya.

Kata Jamil,64, Selangor bukanlah tempat yang asing bagi beliau, kerana sepanjang perkhidmatannya dalam perkhidmatan awam, beliau memang ditempatkan di negeri berkenaan.

Untuk rekod, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di dua kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum bersara wajib.

“Selain Dengkil, saya juga sudah biasa dengan negeri Selangor, malah tidak pernah keluar dari Lembah Kelang ketika berkhidmat dalam kerajaan selama lebih 40 tahun.

“Saya yakin dengan pengalaman yang ada pada saya, saya bersama pasukan PN (akan dapat) menjayakan misi Selangor Baharu pada pilihan raya kali ini,” kata Jamil.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Proses Penamaan Calon DUN Dengkil di Dewan Semarak, di sini hari ini.

Beliau turut menjanjikan suasana pilihan raya yang aman di mana pertandingan di antara parti bertanding akan berlangsung dalam keadaan sihat.

“Di antara kami (para calon), kami ada persefahaman, iaitu bertandig secara sihat. Tidak akan ada cemuhan peribadi di antara kami.

“(Tugas kami) ialang masing-masing berusaha menerangkan kepada pengundi hasrat dan misi kami (yang kami bawa untuk mereka).

“Jadi saya berpesan kepada semua pengundi supaya membuat pilihan yang bijak,” kata Jamil lagi.

Perebutan kerusi DUN Dengkil menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Jamil dengan Noorazli Said (BN),Datuk Mohd Daud Leong Abdullah (PUR) dan Darren Ong (PSM).

Hari pembuangan undi akan dilaksanakan pada 12 Ogos nanti, dengan hari mengundi awal ditetapkan pada 8 Ogos.

Show More

Related Articles

Back to top button