Berita Semasa

Pakej Rahmah Allo tawar langganan internet dengan harga RM69 sebulan

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melancarkan Pakej Rahmah Allo bersama-sama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo) iaitu sebuah anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam satu kenyataan, pakej Rahmah itu ditawarkan di kawasan liputan Allo iaitu di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Cyberjaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Pakej ini menawarkan capaian internet jalur lebar tetap pada harga yang lebih rendah kepada golongan sasaran iaitu golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU), Warga Emas, Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Penawaran pakej ini bertepatan dengan matlamat Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan beban kos sara hidup memandangkan Allo mempunyai tumpuan liputan di kawasan pinggir dan luar bandar,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, langganan kepada Pakej Rahmah Allo adalah pada harga RM69 untuk internet dengan kelajuan sehingga 100 Mbps dengan data tanpa had untuk kontrak langganan selama 24 bulan dan merupakan penjimatan sebanyak RM30 sebulan atau RM720 sepanjang kontrak 24 bulan berbanding pakej semasa Allo iaitu RM99 sebulan.

“Pakej yang bermula hari ini juga tidak mempunyai had waktu dengan tawaran berkekalan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button