Politik

Lima exco digugurkan untuk kekal relevan – Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Keputusan menggugurkan lima Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) daripada menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang adalah usaha untuk meremajakan parti itu.

Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke berkata, keputusan meletakkan muka-muka baharu diharap akan menjadikan parti itu terus relevan kepada masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

“Antara tokoh yang sudah lama berkhidmat termasuk Prof P. Ramasamy yang sudah menjadi Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang selama tiga penggal manakala Chong Eng sudah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri selama dua penggal dan sebelum itu banyak penggal sebagai Ahli Parlimen.

“Jadi ada keperluan untuk kita beri peluang kepada muka baharu. Ini adalah proses yang perlu dilakukan untuk parti kekal relevan,” katanya memetik Malaysiakini.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mengumumkan senarai calon DAP Pulau Pinang pada PRN akan datang di Georgetown, semalam.

Loke berkata, proses pembaharuan dalam sesuatu parti politik itu akan berlaku setiap pilihan raya dan ia merupakan proses biasa, selari dengan prinsip DAP bahawa tiada satu pemimpin pun yang tidak boleh digantikan termasuk dirinya sendiri.

Loke berkata, Yeoh Soon Hin pula digugurkan daripada bertanding pada PRN kali ini kerana pihak parti mempunyai perancangan lain bagi hala tuju karier politik bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri itu.

“Saya akan mencadangkan beliau sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang kerana pengalaman beliau sebagai Exco Pelancongan dapat membantu dalam membangunkan Pelabuhan Pulau Pinang dan menguruskan perkhidmatan feri dengan baik.

Selain itu, pihak parti juga bersetuju supaya Yeoh tidak bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini kerana kita akan mencalonkan beliau sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button