Berita Semasa

Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana akan dinaik taraf ke Pingat Persekutuan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menaik taraf Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan kepada Pingat Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Menurut Armizan, perkara tersebut kini dalam proses semakan oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Terdapat syor agar pingat khas itu digazetkan jadi satu pingat yang diberikan untuk mana-mana dan agensi kerajaan yang selepas ini terlihat dalam operasi dan misi kemanusiaan yang sama.

“Sekarang bahagian berkenaan tengah memuktamadkan proses dan sekiranya selesai ia akan menjadi Pingat Persekutuan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada anggota kerajaan khususnya badan beruniform samada ATM, PDRM, NADMA dan sebagai yang akan terlibat dalam mana-mana misi kemanusiaan dan juga SAR yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Terdahulu, sebanyak 250 anggota keselamatan pelbagai agensi menerima Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana selepas menyertai misi bantuan gempa bumi di Turkiye Februari lalu.

Dalam pada itu, Penguasa Kanan Bomba 1,  yang juga merupakan Komander operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Turkiye, Mohd Khairul Jamil ketika ditemui meluahkan rasa gembira atas pengurniaan pingat tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia terutamanya di peringkat tertinggi pengurusan Kerajaan yang telah memberikan satu bentuk penghargaan kepada kami (pasukan penyelamat).

Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Khairul Jamil.

Menceritakan pengalamannya ketika menjalankan misi SAR di Turkiye, Khairul Jamil menyifatkan ia adalah misi paling mencabar dihadapi oleh beliau berikutan cuaca sejuk yang melampau.

“Sejak penubuhan pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART)  kami telah dihantar ke luar negara sebanyak 15 kali.

“Cabaran di sana seperti yang kita tahu ia (Turkiye dilanda) bencana yang berganda iaitu gempa dan Turkiye juga menghadapi musim sejuk yang melampau yang mana saya di sana tiga ke empat hari terpaksa menghadapi suhu serendah -9 ke -16 darjah Celcius,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button