Politik

DAP umum 11 calon PRN Negeri Sembilan

SEREMBAN – Parti DAP mengumumkan 11 calon termasuk satu muka baharu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bulan depan, malam tadi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, ketika mengumumkan perkara itu, turut mengesahkan beliau akan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah manakala calon muka baharu Desmond Sian Meow Kong bertanding di DUN Rahang.

Turut dicalonkan Teo Kok Seong (Bahau), J. Arul Kumar (Nilai), Chew Seh Yong (Lobak), Ng Chin Tsai (Temiang), Nicole Tan ( Bukit Kepayang), Yap Yew Weng (Mambau), P. Gunasegaran (Seremban Jaya ), Choo Ken Hwa (Lukut) dan S. Veerapan (Repah).

“Negeri Sembilan merupakan negeri yang kita telah menang atas semangat Pakatan Harapan (PH) pada 2018. Saya anak Negeri Sembilan, membesar di negeri ini, politik bermula di sini, sudah tentu Negeri Sembilan dekat di hati saya.

“Kebanyakan 11 kerusi ini kita kekalkan 10 status quo cuma hanya satu kerusi di Rahang (calon baharu), kebanyakan calon DAP di Negeri Sembilan masih muda daripada usia 30-an hingga awal 60-an,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon pada Majlis Pengenalan Calon PH di sini malam tadi.

Beliau berkata, DAP hanya bertanding di empat negeri dan akan mengumumkan calon parti itu di Selangor esok (hari ini) diikuti Pulau Pinang serta Kedah, masing-masing pada Selasa.

“Malam ini ia bukan soal calon DAP, soal calon Amanah atau Keadilan tetapi hanya PH kerana kita mewakili PH, kita masuk bertanding dengan logo PH,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button