Berita Semasa

Pelupusan hutang peneroka: Muhyiddin desak Anwar tunjuk bukti dokumen bertandatangan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti beliau telah menandatangani dokumen pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga menuntut Anwar menarik balik kesemua kenyataan fitnah tersebut dalam tempoh 24 jam selain membuat permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka.

Dalam tuntutan yang dikemukakan oleh peguam Muhyiddin juga, Anwar juga diminta mengemukakan dokumen atau surat pelupusan hutang peneroka Felda yang ditandatanganinya dalam tempoh masa 24 jam.

“Ambil perhatian bahawa sekiranya Dato’ Seri (Anwar) gagal mematuhi tuntutan- tuntutan di sini dalam tempoh yang dinyatakan di atas, kami diarahkan untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Dato’ Sri, termasuk tetapi tidak terhad kepada menuntut ganti rugi dan relif injunksi tanpa notis lanjut kepada Dato Sri,” menurut surat yang dihantar oleh firma guaman Rosli Dahlan Saravanan Partnership itu.

Anwar sebelum ini berulang kali mendakwa pengumuman pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat semasa zaman Muhyiddin menjadi Perdana Menteri tidak mempunyai kelulusan.

Kenyataan Anwar itu bagaimanapun disangkal oleh Muhyiddin yang menyifatkan Menteri Kewangan itu sebagai berhobong.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, pelupusan hutang itu sudah dilaksanakan pada 2021 walaupun tidak dilakukan secara berterusan akibat masalah aliran tunai.

Show More

Related Articles

Back to top button