Berita Semasa

Kes Sanusi: Jabatan Peguam Negara nafi wujud pendakwaan terpilih

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara menafikan berlakunya pendakwaan terpilih yang bermotif politik dan penganiayaan dalam pendakwaan kes baru-baru ini.

Menurut Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, ia bukan disebabkan desakan oleh pihak tertentu atau faktor lain.

Katanya, keputusan dibuat berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tanpa memihak kepada sesiapa.

“Susulan daripada dakwaan bahawa berlakunya pendakwaan terpilih yang bermotif politik dan penganiayaan dalam pendakwaan kes baru-baru ini, Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan, dan bukannya atas desakan mana-mana pihak atau faktor yang lain.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperolehi keadilan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih, bermotif politik dan penganiayaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

“Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu itu akan didakwa oleh Jabatan Peguam Negara berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang orang yang didakwa,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button