Berita Semasa

PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN 12 Ogos ini

 

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) iaitu pada 12 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, proses pengundian selepas pembatalan pilihan raya pada 19 November tahun lalu itu melibatkan 123,575 pemilih.

Katanya, hari penamaan calon dan hari mengundi bagi PRK itu serentak dengan hari PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan iaitu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos

“SPR pada 12 Julai lalu menerima Laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah yang membatalkan pilihan raya bagi Parlimen P036 Kuala Terengganu pada 19 November lalu.

“Sehubungan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini dan memutuskan PRK Kuala Terengganu hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan berkenaan.

“Bagi pelaksanaan PRK itu, tarikh writ ditetapkan pada 18 Julai 2023, penamaan calon pada 29 Julai 2023, hari mengundi awal pada 8 Ogos 2023 dan hari mengundi pada 12 Ogos 2023,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas di sini hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim calon Pas di kerusi P.036 Kuala Terengganu
selepas pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Abdul Ghani berkata, sebanyak RM465,000 diperlukan sebagai kos tambahan bagi pelaksanaan PRK terbabit.

Katanya, bagi tujuan itu juga SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan dibantu 19 Penolong Pegawai Pengurus.

“Bagi memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan mengekalkan empat pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang sama daripada 252 pasukan yang ditubuhkan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) DUN yang diumumkan sebelum ini.

“Sebanyak 1,995 petugas tambahan akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Kuala Terengganu dengan keseluruhan 44 pusat mengundi akan digunakan dengan 222 saluran,” katanya.

Katanya, Pusat Penamaan Calon (PPC) yang digunakan adalah di Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, iaitu berkongsi premis dengan DUN N15 Ladang yang melaksanakan PRU DUN Ke-15.

“Manakala, PPC bagi DUN N13 Wakaf Mempelam, DUN N14 Bandar dan DUN N16 Batu Buruk adalah kekal seperti lokasi yang ditetapkan sebelum ini.

“Bagi Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) Parlimen P036 Kuala Terengganu dan keempat-empat DUN di bawahnya akan menggunakan Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button