Berita Semasa

KKDW berhasrat naikkan gaji lepas TVET dari RM1,500 ke RM2,000

KEPALA BATAS – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhasrat untuk menaikkan jumlah gaji minimum lepasan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) daripada RM1,500 kepada RM2,000.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata TVET bukan sahaja mengajar subjek konvensional, malah perlu memastikan tenaga kerja yang kompeten seiring dengan revolusi industri 4.0 (IR 4.0).

“Perdana Menteri buat dasar baharu, kelulusan keluaran TVET mesti diberikan gaji minimum RM2,000, barulah bermakna kita menghantar anak kita ke kursus TVET.

“Satu dasar baharu oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta 10 lagi kementerian untuk kita rombak. Negara kita akan lebih maju, insya-Allah”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi bual bicara komuniti TVET di Ekspo TVET@KKDW 2023 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kepala Batas.

Tambah beliau, lebih 92.5 peratus lepasan TVET berjaya mendapatkan pekerjaan.

Katanya, ini sekali gus, menangkis persepsi TVET sebagai peluang pendidikan kedua.

“Saya bersetuju dengan Perdana Menteri bahawa misi kita jelas untuk melahirkan graduan TVET yang berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi.

“Kita tidak mahu lagi masyarakat menganggap TVET ini pendidikan kelas kedua, sebaliknya menjadi wadah baharu dalam membangunkan negara dan membina masa hadapan Malaysia Madani,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button