Politik

PRN: Rakyat Sabah di Selangor bakal beri sokongan kepada Kerajaan Perpaduan – Peter

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap (Sabah), Datuk Peter Anthony yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapat sokongan pengundi Sabah yang bermastautin di Selangor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.

Menurut Peter yang juga merupakan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), perjumpaan beliau bersama pengundi Sabah di sini, memberi petanda yang positif selepas rata-rata menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Rata-rata mereka yang saya jumpa ini memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinan Perdana Menteri.

“Begitu juga kita lihat dari segi kerja-kerja yang dilakukan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) ini adalah orang yang muda dan baik jadi kita berharap ada kesepakatan dan kerjasama di antara saudara-saudara yang berada di kawasan Shah Alam khususnya pengundi-pengundi (Sabah) yang berada di kawasan Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Santai Kaamatan anjuran Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia di Padang Sri Muda di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Tambah Peter, penganjuran program tersebut mendapat sambutan luar biasa selepas ribuan pengunjung terdiri daripada penduduk Sabah yang menetap di Semenanjung Malaysia membanjiri Padang Sri Muda hari ini.

“Kita berjaya menghimpunkan ribuan warga Sabah dan Sarawak yang sudah menetap di Selangor dan kalau kita lihat antara data yang kita dapat hari ini rata-rata mereka ini adalah pengundi di kawasan Selangor iaitu di kawasan Shah Alam Klang dan sekitar kawasan Selangor.

Ditanya mengenai prestasi Kerajaan Perpaduan setakat ini, Peter berkata, Anwar telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan percaya sekiranya Perdana Menteri itu diberi masa, lebih banyak perubahan yang akan dilakukan oleh beliau.

“Kita lihat hasil daripada apa yang kita nampak sekarang ini, prestasi Perdana Menteri sangat baik beliau bukan sahaja turun di padang, malah beliau melakukan reformasi yang begitu baik yang selama ini tidak pernah dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“Saya percaya sekiranya beliau diberi peluang untuk mentadbir kerajaan Malaysia, saya yakin bahawa tahun mendatang ini akan lebih banyak perubahan dan kebaikan yang akan dapat beliau lakukan jadi berilah beliau peluang untuk mentabir kerajaan kerana beliau baru sahaja memegang tampuk pemerintahan ini jadi sudah pasti beliau juga perlu masa.

“Beri beliau masa untuk satu tempoh dan saya percaya kejayaan kita akan terjadi juga di masa akan datang,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button