Berita Semasa

Pembabitan pelbagai pihak meriahkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini

IPOH – Pelancaran Bulan Kebangsaan pada tahun ini bakal menyaksikan pembabitan pelbagai pihak yang menjayakan sambutan bertemakan “Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” demi menyemarakkan rasa cinta kepada negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mengarahkan sambutan dirancakkan di seluruh pelosok negeri dan daerah melibatkan pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, beliau akan memastikan penglibatan semua pihak itu akan dikoordinasikan dengan baik oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

“Tahun ini kita mengadakan sambutan Bulan Kebangsaan dengan
mengetengahkan konsep Karnival Kita MADANI.

“Konsep ini berorientasikan “kepelbagaian dalam perpaduan” yang bersandarkan aspirasi Malaysia MADANI.

“Sambutan kali ini juga menyaksikan penglibatan lebih banyak pihak yang menggembleng tenaga untuk menjayakan pelbagai program menarik sepanjang Bulan Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Fahmi Fadzil bersama Fadillah Yusof dan Saarani Mohamad pada sambutan Bulan Kebangsaandi Meru, Perah.

Seramai 10,000 peserta hadir seawal 6 pagi tadi bagi menyahut cabaran untuk berjalan ‘6,600 Langkah Perpaduan’ sebagai simbolik 66 tahun negara kita bebas dari penjajah.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut berlangsung adalah pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang berkonsepkan konvoi berkenderaan yang akan membawa Jalur Gemilang menelusuri seluruh negara menerusi “Penyerahan Jalur Gemilang” antara satu negeri dengan negeri yang lain.

 

Show More

Related Articles

Back to top button