Politik

PRN: UMNO Negeri Sembilan sudah kenal pasti calon DUN Jeram Padang

JEMPOL – UMNO Negeri Sembilan sudah mengenal pasti calon terbaik bagi bertanding kerusi DUN Jeram Padang yang ditinggalkan MIC menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menurut Pengerusi UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias, perkara itu bagaimanapun perlu dibincangkan bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya menghormati keputusan pimpinan MIC untuk tidak meletakan calon di mana-mana kerusi PRN kali ini. Oleh kerana itu, saya akan berbincang mengenai kedudukan DUN Jeram Padang.

“Tentunya saya mengharapkan Yang Amat Berhormat Presiden UMNO (Ahmad Zahid) membuat keputusan parti mana yang bakal bertanding di DUN Jeram Padang.

“Bagi pihak UMNO Negeri Sembilan kami sudah bersedia untuk memperkukuhkan jentera, menjelaskan kepada rakyat, malah saya sudah mengenal pasti calon yang terbaik untuk diletakan di DUN berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Santuni Pengundi Muda UMNO Bahagian Jempol pada Khamis lalu.

DUN Jeram Padang kini disandang Pengerusi MIC negeri Datuk L. Manickam.

Sebelum ini, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu bulan hadapan, bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Show More

Related Articles

Back to top button