Bisnes & Ekonomi

Kerjasama Malaysia-Tesla pencetus permulaan mereformasi ekonomi negara

KUALA LUMPUR – Kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan Space X, Elon Musk merupakan satu lembaran baharu kepada lanskap pembangunan ekonomi Malaysia.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin, ia merupakan bentuk pemacu perubahan yang sangat diperlukan dalam proses reformasi ekonomi yang lebih progresif, inklusif, moden, dan mampan.

“Pasca pandemik COVID-19, umum mengetahui bahawa ekonomi Malaysia berada pada fasa pemulihan dan memerlukan satu bentuk game changer untuk mereformasi ekonomi secara struktural dan menyeluruh.

“Sebelum pandemik lagipun, ekonomi kita sudahpun berhadapan dengan dua cabaran utama, iaitu cabaran revolusi teknologi dan juga cabaran krisis iklim.

“Di sinilah kita perlu faham signifikasi kepada pelaburan syarikat Tesla Inc dan juga syarikat SpaceX kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

Semalam Tesla mengumumkan bersetuju untuk membuka ibu pejabatnya di Cyberjaya selepas mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri semalam.

Dalam pada itu Irwan Shah berkata, negara bukan hanya inginkan pelaburan, tetapi juga memerlukan pelaburan yang berkualiti tinggi yang menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Kita bukan hanya inginkan pertumbuhan ekonomi, tetapi pertumbuhan secara inklusif dan mampan.

Dr Irwan Shah

“Realitinya, proses perindustrian perlu ada peningkatan dalam rantaian nilai. Kita tidak boleh bergantung kepada aktiviti pengeluaran bernilai rendah seperti proses pemasangan asas semata-mata, serta kurangnya kesan limpahan ekonomi terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kita tidak boleh selama-lamanya hanya menjadi end user kepada teknologi. Kita perlu ada champion yang akan membawa kemajuan dan penciptaan teknologi baharu,” ujarnya.

Beliau berkata, negara perlu berubah dengan menjadi tarikan kepada pelaburan yang berteknologi tinggi dan akhirnya dapat mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi.

“Sebab itulah Bank Dunia menyatakan ekonomi kita mengalami masalah perangkap pendapatan pertengahan.

“Untuk mereformasi ekonomi kita menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, ianya perlulah dipacu oleh aktiviti inovasi dan mempunyai tahap produktiviti yang tinggi.

“Jadi, kedatangan Musk sememangnya akan menjadi pencetus kepada permulaan sebuah perjalanan baharu dalam mereformasi ekonomi kita. Ia boleh dilihat sebagai permulaan kepada the great reset kepada ekonomi Malaysia.

“Pelaburan Tesla Inc dan Space X ini dijangka memainkan peranan sebagai anchor kepada penyelesaian masalah ekonomi yang membelenggu rakyat pada ketika ini, seperti kadar pertumbuhan gaji yang mendaftar, kadar pertumbuhan kos sara hidup yang meningkat lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan pendapatan, masalah underemployment, graduan menganggur, kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah, dan banyak lagi,” ujarnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button