Berita Semasa

Tesla sah beroperasi di Cyberjaya – PM

PUTRAJAYA – Syarikat milik Elon Musk, Tesla Inc bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penting pengeluar kenderaan elektrik (EV) di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla itu memberikan komitmen tersebut dalam pertemuan secara maya pagi tadi.

Pada masa sama, katanya, Musk turut menzahirkan persetujuan menubuhkan ibu pejabat Tesla di Cyberjaya.

“Ini adalah hal yang menyakinkan kepada pemacuan ekonomi negara. Justeru, dengan kemasukan Tesla ke Malaysia, ia akan memacu ekosistem EV negara.

“Saya memberi jaminan kepada Musk. Saya meminta Menteri Pelaburan, Perdangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya memberi ruang dan perhatian untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Khairiyah di Taman Seri Gombak berkata, pelaburan syarikat itu ke Malaysia juga akan memberikan banyak peluang pekerjaan mahir kepada negara

Anwar berkata, selain kenderaan EV, Musk juga akan menyediakan perkhidmatan satelit Starlink.

Katanya, teknologi itu bakal memperhebat akses dan ketersambungan internet, sekali gus memberi peluang penduduk luar bandar mengakses kemudahan berkenaan.

“Starlink (perkhidmatan satelit) akan memberi ruang kepada semua kawasan luar bandar, sekolah, universiti untuk mendapat akses internet dengan cara yang murah. Walaupun 40 (satelit) disediakan awal, beliau beri pengakuan untuk memberi keutamaan kepada Malaysia.

“Bagi SpaceX pula, tiga syarikat Malaysia akan terbabit dalam projek ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button