Berita Semasa

PM alu-alukan keputusan Elon Musk buka ibu pejabat di Malaysia

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat SpaceX milik Elon Musk di Malaysia.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengalu-alukan kesediaan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu untuk datang ke Malaysia.

“Saya turut mengucap tahniah dan dokongan kerajaan atas pembukaan ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini.

“Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050. Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan melalui persidangan video bersama dengan Musk dengan turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kedua-dua pihak turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink.

Anwar berkata, langkah itu dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, ini kerana teknologi itu hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.

“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button