Politik

Penubuhan parti politik Orang Asli hanya akan pecah-belahkan komuniti – Ramli

SEREMBAN – Penubuhan parti politik baharu mewakili Orang Asli bukan satu langkah terbaik kerana ia akan menyebabkan komuniti itu berpecah-belah.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor berkata, sebaliknya adalah lebih baik komuniti tersebut bernaung di bawah satu parti besar yang akhirnya akan menguntungkan mereka.

“Bagi saya (penubuhan parti politik baharu) ini adalah tidak sihat kerana ia akan menyebabkan Orang Asli berpecah-belah.

“Selama ini, kira-kira 90 peratus masyarakat Orang Asli menyokong BN (Barisan Nasional) dan menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan,” kata kata Ramli selepas majlis ramah mesra bersama kepimpinan masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan, di sini semalam.

Ramli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus bahawa sebuah parti politik baharu untuk masyarakat Orang Asli diluluskan penubuhannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), baru-baru ini.

Ahli Parlimen Cameron Highlands itu seterusnya berkata, sudah tentu parti politik itu mahu menyasarkan keahlian dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang hanya berjumlah kira-kira 217,000 orang.

“Jika sokongan masyarakat Orang Asli berpecah maka kuasa politik komuniti itu akan menguncup.

“Sama ada kita suka atau tidak kuasa mengundi Orang Asli adalah terlalu kecil dan lebih baik mereka bersama dengan parti lebih besar untuk sama-sama menentukan dasar yang menguntungkan masyarakat itu,” katanya lagi.

Ramli berkata, pelantikannya sebagai pengerusi Sekretariat Pembangunan Orang Asli oleh kerajaan akan membolehkannya merancang pelbagai aktiviti dan usaha bagi meningkatkan pencapaian komuniti itu antaranya memastikan tiada ketirisan dalam setiap peruntukan dan projek disalurkan.

Show More

Related Articles

Back to top button