Berita Semasa

Chegubard desak SPRM siasat status kediaman, pengisytiharan harta PM

PUTRAJAYA –  Bekas ahli PKR, Badrul Hisham Shaharin mendesak Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung status kediaman peribadi dan pengisytiharan harta Perdana Menteri itu.

Menurut Pengerusi Muafakat Nasional Negeri Sembilan itu, beliau mendakwa kediaman yang didiami oleh Anwar di Sungai Long, Kajang adalah milik seorang taikun Cina bernama Lim Kean Tin.

Tambah Badrul yang lebih dikenali sebagai ‘Chegubard’, hal ini telah menimbulkan beberapa persoalan mengenai keselamatan dan wujudnya konflik kepentingan terhadap hubungan Anwar dengan taikun Cina tersebut.

“Shukri Saad yang merupakan Timbalan Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Malaysia mengakui premis yang merupakan kediaman peribadi Perdana Menteri di alamat No. 7, Jalan SL 3/3, Bandar Sg. Long, 43000 Kajang, Selangor merupakan milik Lim Kean Tin.

“Di mana dalam dokumen terbabit juga dinyatakan Lim Kean Tin juga merupakan penama bagi bil TNB dan bil bekalan air bagi premis tersebut.

“Persoalan timbul kenapa Perdana Menteri Malaysia boleh menjadikan banglo mewah milik seorang taikun sebagai kediaman peribadi?

“Pertama timbul persoalan aspek keselamatan. Adakah selamat dan PM isytihar kepada Kerajaan bahawa dia duduk di kediaman milik seorang taikun cina?

“Menurut carian nama tauke cina itu terkait projek perniagaan besar bernilai berbilion dan adakah wujud konflik kepentingan dalam urusan perniagaan?,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum menyerahkan memorandum siasatan di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Badrul yang juga merupakan Jawatankuasa Penerangan Bersatu, mahu siasatan dijalankan terhadap pengisytiharan harta yang dibuat oleh Anwar sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Katanya, Anwar memperoleh tanah bernilai RM 1 juta pada tahun 2022 di Port Dickson.

“Sekejap jadi Ahli Parlimen di Port Dickson orang PD (Port Dickson) tak dapat apa tapi Anwar memperoleh tanah RM 1 juta.

“Pemilikan tanah ini cuba dihalalkan dengan penjualan rumah pada tahun 2004 yang mana duit jual rumah itu sudahpun dibeli villa mewah di Bukit Segambut, sangat mengelirukan.

“Persoalannya adakah pengisytiharan ini palsu atau benar? Ada syak yang kuat Anwar hanya bersandiwara dalam pengisytiharaan ini?,” soalnya.

Show More

Related Articles

Back to top button