Berita Semasa

Tiada elemen rasuah ditemukan dalam insiden kekecohan babitkan menteri, warga China di KLIA – SPRM

Siasatan lanjut masih diteruskan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemukan sebarang elemen rasuah dalam siasatannya berhubung insiden membabitkan seorang menteri di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun lalu.

Laporan Utusan Online yang memetik sumber berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang pembayaran wang dibuat terhadap mana-mana individu selepas mereka tidak dibenarkan oleh imigresen memasuki negara ini.

Kata sumber itu, kekecohan berpunca daripada kekeliruan dan salah faham membabitkan dua pelancong dengan ‘orang tengah’ atau ‘ejen’ yang dihubungi sebaik mereka dikenakan tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) memasuki Malaysia.

Mereka yang terkandas dihubungi ejen menggunakan WeChat bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi.

“Semakan di WeChat ada menyatakan amaun mengenai pembelian tiket pulang ke negara asal dan bayaran dikenakan oleh ejen.

“Disebabkan masalah komunikasi antara kedua-dua pihak ini (dua wanita China dan ejen) telah menimbulkan salah faham konon berlaku rasuah di KLIA, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan berhubung perkara ini,” kata sumber itu dalam laporan tersebut.

Minggu lalu sebuah portal berita melaporkan kekecohan di KLIA melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, didakwa cuba “menyelamatkan” seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukannya ke negara ini sejurus tiba.

Tiong kemudian membuat dakwaan wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa ‘kronik’ di pintu masuk negara.

Katanya, wanita itu memaklumkan ada pegawai bertanya “bila wang mahu dibayar” dipercayai merujuk kepada sogokan.

Pada 5 Julai lalu, SPRM mengesahkan telah 0mengambil keterangan 14 individu berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota imigresen di pintu masuk negara.

Show More

Related Articles

Back to top button