Berita Semasa

Persoal kod pakaian peperiksaan: GAMIS sifatkan Suara Siswa tidak rasional

KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyifatkan tindakan Suara Siswa Universiti Malaya (UM) yang mempersoalkan kod pakaian peperiksaan sebagai satu tindakan yang tidak rasional.

Menurut Naib Presidennya, Muhammad Aliif Dzulkifli, tidak salah untuk memperjuangkan kebebasan, namun soalnya, adakah suatu kebebasan itu tidak mempunyai had dan limitasi?

Katanya, hak kebebasan bersuara tidak pernah bersifat mutlak di mana-mana negara, malah di Amerika Syarikat dan lazimnya kebebasan ini dilindungi dengan garis panduan tertentu.

“Tidak rasional apabila dikatakan peraturan seperti larangan berambut tidak kemas atau berwarna terang, larangan memakai aksesori muka, hoodie, topi, baju ketat, bingkap dan seluar jeans yang berlubang ketika peperiksaan sewajarnya hanya dijadikan garis panduan sahaja.

“Apabila sudah menjejakkan kaki di alam pekerjaan, adakah etika pemakaian di tempat kerja juga akan dikatakan menggugat kebebasan bersuara?.

“Jangan sampai kita perjuangkan kebebasan membuta tuli sehingga menggadaikan kepentingan lain yang lebih utama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Muhammad Aliif, kod pakaian yang diperkenalkan oleh pihak Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan Akademik (AASD) bukanlah perkara yang baharu dan sama sekali tidak keterlaluan sehingga perlu diadakan pembantahan.

Terdahulu, gabungan kumpulan pelajar, Suara Siswa UM mendakwa pelaksanaan kod pakaian yang diperkenalkan AASD telah menyekat kebebasan bersuara para mahasiswa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kata Suara Siswa, objektif peperiksaan adalah untuk menilai pemahaman dan kemahiran mahasiswa dalam subjek-subiek tertentu dan pemakaian mereka tidak akan mempengaruhi objektif ini.

Tambahnya, pelaksanaan tersebut menggambarkan kegagalan universiti dalam memelihara nilai kepelbagaian dan kebebasan pemakaian serta menunjukkan pemikiran feudal dan regresif universiti, terutamanya kepada mahasiswa dan mahasiswi antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button