Bisnes & Ekonomi

Co-opbank Pertama umum dividen 6.88 peratus syer iRCPS, 6.30 peratus syer biasa.

KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) hari ini mengumumkan pembayaran dividen berjumlah lebih daripada RM60.91 juta kepada pemegang-pemegang syer bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan pembayaran dividen bagi syer biasa dan syer keutamaan (iRCPS) CBP bagi tahun kewangan berakhir 2022 seperti yang dimohon oleh CBP.

“Bagi tahun 2022, jumlah pembayaran dividen yang dibayar adalah sebanyak RM60.91 juta berbanding tahun 2021 yang berjumlah RM58.94 juta. Peningkatan jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 91,133 anggota CBP yang layak.

“Jumlah syer keseluruhan CBP adalah RM985.43 juta setakat 31 Disember 2022,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, katanya, kadar dividen bersih bagi tahun 2022 adalah sebanyak 6.88 peratus bagi syer iRCPS dan 6.30 peratus bagi syer biasa.

Beliau berkata, jumlah ini juga adalah setanding dengan jumlah dividen yang dibayar oleh dana pelaburan lain di Malaysia.

“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM103.43 juta iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus dari tahun 2021 yang berjumlah RM86.14 juta. Prestasi baik ini didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh Pengurusan CBP.

“Pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2022 yang berjumlah lebih RM60.91 juta ini merupakan jumlah yang tertinggi dalam sejarah penubuhan CBP sejak dari tahun 1950,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, anggota CBP boleh dan digalakkan untuk membuat pengeluaran dividen secara atas talian melalui laman web e-Semakan CBP bermula 7 Julai 2023.

Tambahnya, penyata dividen boleh disemak mulai 11 Julai 2023 di https://dividen.cbp.com.my.

Show More

Related Articles

Back to top button