Berita Semasa

TPM tidak nafikan kemungkinan wujud ‘kacang hantu’ dalam JIM, JPN

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menafikan kemungkinan wujudnya individu yang berniat tidak baik atau ‘kacang hantu’ dalam kalangan anggota Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata, siasatan yang sedang dilaksanakan adalah bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dan seterusnya membersihkan anasir itu daripada berterusan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menambah, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak membuat tuduhan melulu yang mengaitkan seluruh jabatan tersebut melakukan amalan rasuah.

“Jika ianya benar mesti diperbaiki, jika ianya tidak benar mesti dilakukan pencerahan. Kita tidak wajar untuk melakukan tuduhan-tuduhan secara rambang dan dalam perkara ini yang penting ialah keberkesanan terhadap langkah-langkah oleh kedua-dua agensi atau jabatan berkenaan kerana memang mungkin ada ‘kacang-kacang hantu’ yang memang wujud dan sentiasa wujud.

“Oleh sebab itu ‘kacang-kacang hantu’ ini yang merosakkan susu sebelanga kerana nila setitik. Ini ianya harus dibanteras,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), di sini hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini pernah mentadbir Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui dua jabatan itu antara yang banyak menerima tuduhan secara rambang.

Sehubungan itu jelas beliau, siasatan itu mampu merungkaikan fakta sebenar sama ada tuduhan berkenaan adalah benar atau tidak.

Show More

Related Articles

Back to top button