Berita SemasaPM X

PM kecewa hanya satu mesin pengimbas kastam beroperasi di KLIA

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa apabila mendapati hanya satu daripada tujuh mesin pengimbas kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beroperasi.

Penemuan itu ditemukan dalam lawatan mengejut yang beliau lakukan, semalam.

Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan mendesak pegawai agensi terbabit turun padang untuk melihat permasalahan di bawah.

“Kebetulan (saya) menteri kewangan, kastam bawah tanggungjawab saya. Takkan nak tunggu menteri turun baru nak tahu rosak,” kata Anwar ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi.

“Ini ada kelemahan dari segi maklumat, kalau belanja sekitar beberapa juta kita boleh luluskan segera dan saya percaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) takkan siasat semata-mata luluskan segera kerana keadaan mendesak.”

Lawatan mengejut Anwar ke KLIA semalam dipercayai susulan insiden kekecohan baru-baru ini membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing yang mendakwa wujudnya budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa ‘kronik’ di pintu masuk negara.

Show More

Related Articles

Back to top button