PM X

Pegawai Imigresen amal rasuah berdepan tindakan tegas – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang terlibat dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa bakal berdepan tindakan tegas.

Menurut Perdana Menteri, masih terdapat kelompok kecil pegawai imigresen yang terbiasa dengan amalan dan sistem lama.

Katanya, perbuatan itu jelas merosakkan imej jabatan, penjawat awam dan negara walaupun secara keseluruhan berfungsi dengan baik.

“Semalam sebelum sambut kepulangan Agong, saya sempat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kerana ada sedikit sebanyak ‘keributan’ kecil.

“Tentunya saya lihat, umpamanya semua kaunter Imigresen berfungsi, maknanya majoriti kakitangan Imigresen menjalankan tugas dengan baik tetapi seperti mana juga kita sedar dan sering saya tegaskan ada kumpulan kecil yang masih biasa dengan sistem dan amalan lama.

“Selalu kita sebut kerana nila setitik rosak sebelanga, saya pergi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk beri jaminan bahawa sebenarnya tidak wajar kita beri gambaran dan persepsi secara umum bahawa ada kerosakan dalam Imigresen.

“Saya percaya itu bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus bertindak.

“Saya pergi dan merumuskan untuk mempertahankan integriti imigresen serta masih menekankan supaya tindakan segera dan keras diambil terhadap beberapa kelompok kecil yang selesa dengan cara lama,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Julai di sini hari ini.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan lawatan mengejut ke KLIA susulan dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing wujudnya salah laku dan amalan rasuah dalam kalangan kakitangan Imigresen.

Menurut Anwar, beliau memberi jaminan siasatan rapi akan dibuat terhadap isu tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, memaklumkan pihaknya sudah memulakan siasatan serta-merta berhubung insiden itu.

Show More

Related Articles

Back to top button