Berita Semasa

Kemalangan latihan senjata TUDM: Seorang jurulatih meninggal dunia

GEMAS – Salah seorang jurulatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam kemalangan sewaktu Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Kelas 1, disahkan meninggal dunia pada pukul 5.45 petang semalam.

Menurut TUDM dalam satu kenyataan pagi ini, jurulatih berkenaan dikenal pasti sebagai Koperal Udara Syuib Bidin, dan bertugas di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan.

“Anggota disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat, Johor ketika diberikan rawatan akibat kecederaan parah yang dialami,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian semalam dikenal pasti sebagai Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, dan berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan.

“Anggota merupakan penuntut bagi KPP Kelas 1 Siri 78/23 di INSTAR Pangkalan Udara Sendayan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata TUDM lagi.

Sementara itu, seorang lagi jurulatih INSTAR yang dikenal pasti sebagai Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, kini sedang menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor di dalam pemantauan rapi dan dilaporkan stabil.

“Waris anggota yang terlibat telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan semua urusan kebajikan keluarga mangsa-mangsa yang terlibat diutamakan serta urusan pengebumian disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

“Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi TUDM menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang berlaku dan merakamkan salam takziah kepada waris anggota yang meninggal dunia yang juga merupakan kehilangan besar kepada TUDM.

“Selain itu, diharapkan urusan rawatan kepada anggota yang cedera dipermudahkan, dilaksanakan dengan segera serta dikurniakan dengan kesembuhan. Semoga semua waris anggota yang terlibat sabar, tabah dan reda menghadapi ujian yang berlaku,” kata kenyataan itu lagi yang menambah, TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca kemalangan tersebut.

TUDM kemudiannya berkata, kemalangan tersebut kini sedang disiasat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan berita tidak sahih sehingga proses siasatan selesai.

Show More

Related Articles

Back to top button