Berita Semasa

TUDM sahkan anggotanya terbunuh ketika latihan senjata

GEMAS – Seorang angggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disahkan terbunuh manakala dua jurulatih mengalami kecederaan menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar, di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin di Kem Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.

TUDM dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, kejadian tersebut membabitkan Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23.

“Kemalangan berlaku sekitar pukul 12.10 tengah hari mengakibatkan seorang penuntut meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala dua jurulatih mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat,” kata kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, TUDM berkata, pihaknya telah menghubungi waris mangsa yang terlibat dan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.

“TUDM juga akan menubuhkan satu lembaga penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Semua pihak diminta tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan dijalankan oleh PDRM selesai dan menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat,” ujar kenyataan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button