Berita Semasa

Harga beras SST bakal naik?

CYBERJAYA – Pemborong-pemborong beras mendakwa harga beras tempatan dijangka naik dalam masa terdekat.

Laporan portal Malaysia Gazette yang memetik sumber berkata, pihak pemborong sudah mendapat surat daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai kenaikan harga borong beras tempatan (super spesial tempatan – SST) kepada RM2,250 bagi satu metrik tan.

Sumber memberitahu, surat yang bertarikh 16 Jun 2023 itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Bahagian Pembangunan Industri Padi, Datuk Azman Mahmood.

“Secara logiknya, kalau kenaikan harga borong (beras) sudah diberikan kepada pemborong, bermakna pengguna juga bakal berdepan dengan kenaikan harga beras. Cuma tunggu masa sahaja.

“Kalau tidak, keuntungan pemborong, pembekal, peruncit akan merosot,” kata sumber dalam laporan tersebut.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydinyang memberitahu harga runcit bagi beras putih import 10kg akan naik sekurang-kurangnya RM1 bulan depan.

Mengulas lanjut, sumber percaya, penjelasan kenaikan harga beras tempatan akan dibuat selepas perintah harga kawalan beras dipinda oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak lama lagi.

“Beberapa proses dalaman perlu dibuat sebelum perubahan harga beras tempatan ini diumumkan, tetapi harga pasti naik. Tidak logik pula pemborong beli mahal, pengguna dapat harga yang sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, sumber yang terlibat dalam industri beras negara turut mengesahkan akan berlaku perubahan beras tempatan, hanya menunggu masa sahaja.

Pada masa ini harga beras tempatan yang kekal sekitar RM2.60 sekilogram.

“Kalau ia naik, harga baharu (kenaikan) tidak melepasi lebih RM1,” ujar sumber tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button