Politik

BN mahu dua kerusi tambahan dari PH di Negeri Sembilan

 

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan dua lagi kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha mendapatkan dua kerusi tambahan itu adalah untuk menambah 16 kerusi yang sedia disandang.

“Secara idealnya kita mengekalkan kerusi-kerusi yang dipegang dan itu tidak jadi masalah dan lebih baik jika pihak BN dan PH atas pertimbangan untuk kami diberikan dua lagi kerusi tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan dengan jentera UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan laporan daripada jentera-jentera parti di negeri itu, beliau yakin untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

“Kami amat bersedia untuk bekerja ke arah kemenangan sebagaimana yang dinyatakan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri. Tapi keputusan di bawah kepimpinan BN dan PH dan itu kita akan muktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keresahan penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran belum ada keputusan mengenai pengampunan bekas Perdana Menteri itu.

Media sebelum ini melaporkan penyokong Najib yang dipenjarakan sejak 23 Ogos tahun lalu dibebaskan segera supaya beliau dapat bersama mereka dalam kempen enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button