Berita Semasa

PPIM gesa kerajaan bertegas isu ‘rompakan’ minyak warga Singapura

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan segera
laksanakan program subsidi petrol bagi memastikan tiada hasil negara yang dirompak
secara terbuka.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata, setiap hari pengguna melaporkan kes
kenderaan negara jiran mengisi petrol bersubsidi di negeri-negeri berhampiran sempadan
negara.

Lebih mengejutkan kes terbaru yang melibatkan seorang penghantar barangan dan
makanan dikenakan tindakan gantung tugas kerana merakam dan menularkan perbuatan
biadab warga asing yang cuba mengisi minyak petrol bersubsidi ke dalam tong.

“Bukan sahaja tidak ada tindakan langsung dari Kerajaan Malaysia terhadap pelaku, malah
warganegara yang setia mempertahankan hak negara dipersalahkan dan digantung kerja
sehingga menjejas pendapatannya, dimana maruah kita sebagai sebuah negara?” tegas
Nadzim.

Nadzim turut mempersoal keberkesanan pihak berkuasa yang terlibat.

“Adakah pihak berwajib kita sudah tidak ada rasa sayang dan cintakan negara lagi?
Bersusah payah barisan hadapan negara menjaga keamanan negara, warga asing boleh
suka-suka merompak harta kita?” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial, video yang memaparkan seorang lelaki penghantar
makanan dan barangan menegur dua lelaki dipercayai warga asing mengisi petrol bersubsidi
RON95 ke dalam tong.

Namun, tindakan lelaki itu telah mencetus pertengkaran mulut antara mereka dan di dalam
video tersebut seorang daripada lelaki itu mengeluarkan besi dipercayai untuk mengugut
pengadu.

Polis bagaimanapun berkata, kejadian itu satu salah faham kerana warga asing tersebut
mengisi minyak untuk kenderaan jenis Go-Kart.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian
tersebut dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak Sunway Box di sini pada jam 8.37
malam,16 Jun lalu.

Nadzim mempersoalkan samada itu dibenarkan dan bagaimana untuk memastikan warga
asing tidak menyeludup petrol bersubsidi itu keluar negara.

 

Show More

Related Articles

Back to top button