PM umum pengurangan cukai 25 peratus bagi pemilik rumah mampu milik di KL
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pengurangan cukai sebanyak 25 peratus bagi 25,677 pemilik rumah mampu milik di ibu negara bermula penggal kedua iaitu Julai sehingga Disember tahun ini.
Menurut Perdana Menteri, cukai taksiran yang dikenakan ke atas rumah kediaman di Kuala Lumpur agak membebankan warga kota terutamanya pemilik kediaman rumah mampu milik.
Katanya, inisiatif tersebut sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani dan elemen ihsan yang menekankan kepada aspek peduli.
Sehubungan dengan itu, kerajaan mengambil keputusan untuk memberikan pengurangan cukai taksiran tersebut.
“Inisiatif ini adalah bagi kategori rumah kediaman mampu milik yang telah siap selepas 2014 sehingga kini.
“Pengurangan cukai taksiran ini memberikan manfaat kepada 25,677 pemilik rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan pengurangan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM2.067 juta.
“Kategori pemilik rumah mampu milik yang layak bagi inisiatif ini adalah RUMAWIP, PRIMA, PPAM dan Residensi Wilayah di Kuala Lumpur,” katanya dalam ucapan pada Sesi Temu Mesra bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Kuala Lumpur.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Saleh.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, pengurangan cukai taksiran kediaman rumah mampu milik itu dapat mengurangkan beban kos sara hidup golongan B40 dan M40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Dengan pengurangan ini, diharap pemilik kediaman dapat menjelaskan cukai taksiran bagi membolehkan DBKL memberikan perkhidmatan perbandaran yang terbaik,” katanya