Berita Semasa

Facebook tidak bagi kerjasama, MCMC bakal ambil tindakan undang-undang

BANGI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan perundangan terhadap Meta yang memiliki Facebook selepas didapati enggan bekerjasama berhubung paparan isu-isu sensitif di platform itu.

MCMC dalam kenyataannya menegaskan, tindakan perlu diambil bagi mengekang kandungan memudaratkan yang semakin banyak tersiar di Facebook khususnya yang membabitkan elemen kaum, institusi diraja, agama, penyamaran, judi dalam talian dan iklan-iklan penipuan

MCMC berkata, walaupun agensi itu telah beberapa kali menghubungi Meta, usaha itu masih tidak menemukan jalan penyelesaian dan kerjasama yang disifatkan tidak memadai.

“Maklum balas pihak Meta yang lembap dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan.

“Pihak MCMC tidak teragak-agak untuk mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta sebagai langkah untuk memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran selamat dalam alam digital.

“Tindakan berkenaan adalah perlu dalam menyemaikan kebertanggungjawaban untuk keselamatan siber selain memperkasakan perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan, termasuk juga aktiviti penipuan,” katanya hari ini.

MCMC berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalahguna platform dalam talian telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan.

“Untuk aktiviti siber berniat jahat, pishing ataupun sebarang kandungan yang mengganggu-gugat kestabilan kaum, keharmonian sosial dan penghinaan terhadap institusi diraja,” tegasnya

Facebook sejak kebelakangan ini mula melonggarkan syarat kepada pengguna dalam memuat naik kandungan.

Show More

Related Articles

Back to top button