Berita Semasa

Seri Paduka, Permaisuri berangkat tunaikan haji

KUALA LUMPUR – Yang Di Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji bermula hari ini hingga 2 Julai depan.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Mekah diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Upacara keberangkatan tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Upacara tersebut disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Luqman Abdullah dan laungan azan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam, Bahagian Agama Istana Negara, Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni.

Seri Paduka Baginda berdua seterusnya turut berkenan untuk bersalaman dengan petugas Istana Negara.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi mengucapkan selamat jalan kepada Seri Paduka baginda berdua.

Hadir sama, Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Abdullah Al Sulaim.

Show More

Related Articles

Back to top button