Berita SemasaPM X

PM gesa majikan beri elaun munasabah kepada intern

KUALA LUMPUR – Para majikan yang menawarkan latihan industri kepada para mahasiswa digesa memberikan elaun munasabah kepada golongan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun bukan paksaan, syarikat perlu mempertimbangkan bayaran yang munasabah bagi membantu ‘intern’ berkenaan menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh latihan.

“Kepada syarikat-syarikat, bagilah elaun yang munasabah kepada mahasiswa kita kerana perjalanan tambang, makan mereka kena ambil kira.

“Saya bagi pihak anak-anak mahasiswa nak sampaikan keluhan mereka untuk diberi pertimbangan mengenai bayaran elaun,” katanya ketika berucap melancarkan Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti, hari ini.

Anwar berkata, beliau berharap supaya para majikan dapat mempertimbangkan permintaan itu dan menaikkan sedikit elaun yang diberikan.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dilaporkan sebagai berkata, kerajaan akan meneliti isu bayaran elaun pelajar yang menjalani latihan industri susulan laporan terdapat pelajar yang menjalani latihan industri di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan serta syarikat swasta, tidak dibayar elaun.

Ia menyusul kenyataan Anwar pada 30 Mei bahawa kerajaan akan meneliti sebarang cadangan bagi mewujudkan sebuah akta khas untuk melindungi kebajikan pelajar pelatih.

Sementara itu, dalam ucapannya hari ini, Anwar berkata CMGP akan memberi manfaat kepada 9,000 mahasiswa dalam industri pasaran modal dengan 600 orang daripadanya dijamin mendapat pekerjaan dalam industri pasaran modal dalam tempoh tiga tahun.

“Dengan menyediakan peluang mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam industri pasaran modal kepada graduan muda, program ini berupaya membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi masa depan Malaysia,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button