Jenayah & Mahkamah

Imigresen tumpaskan sindiket bekal pelacur warga asing

CYBERJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket yang membekalkan wanita warga asing bagi tujuan khidmat seks, baru-baru ini.

Dalam operasi khas pada 15 Jun di Cheras dan Kepong tersebut, JIM turut berjaya menahan seramai 72 orang warga asing, dan tujuh orang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘Kapten’ dan penjaga premis.

Operasi yang bermula pada pukul 9.00 malam itu melibatkan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Pasukan operasi telah menyerbu lima buah premis sindiket dan menahan seramai 72 warga asing yang terdiri daripada empat lelaki Vietnam, tiga lelaki Bangladesh, seorang lelaki India, 43 wanita Vietnam, 15 wanita Indonesia dan 6 wanita Thailand yang berusia di antara 25 hingga 42 tahun.

“Wanita warga asing yang ditahan menyediakan perkhidmatan seks kepada pelanggan dan turut berada di premis semasa serbuan ialah beberapa orang pelanggan warga tempatan,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan, hari ini.

“Modus operandi sindiket adalah mana-mana pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks akan berurusan melalui aplikasi Whatsapp dan pelanggan tersebut akan diberikan kata laluan untuk masuk ke dalam premis.

“Tanpa kata laluan pelanggan tidak dibenarkan masuk oleh penjaga premis,” katanya lagi

Beliau seterusnya menambah, pemeriksaan awal mendapati kesemua warga asing yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh dan salahguna Pas.

Operasi khas ini dijalankan berdasarkan maklumat dan risikan selama satu bulan keatas sindiket yang membekalkan wanita warga asing untuk tujuan seks di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007(ATIPSOM), kata Ruslin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button