Berita Semasa

Suspek langgar Ducati serah diri, cedera parah

KUALA LUMPUR – Suspek yang disyaki menunggang motosikal melawan arus di jejambat Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang lain, tampil menyerah diri di Balai Trafik Kajang, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, suspek merupakan lelaki tempatan yang berkerja sebagai peniaga makanan, berusia 41 tahun dan menetap di Kajang.

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tapi telah tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku.

“Akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh dari motosikalnya dan selepas kemalangan terbabit suspek terus pulang ke rumah.

“Suspek hanya mengetahui kes berlaku setelah menonton berita di televisyen dan hebahan di media sosial,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Suspek juga dikatakan turut membuat laporan polis berhubung kemalangan tersebut.

Mohd Azam berkata, pemeriksaan terhadapi suspek mendapati dia mengalami kecederaan patah di bahagian bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan akibat kemalangan.

“Sehubungan itu, pihak polis merampas motosikal jenis Yamaha dan beberapa barang kes lain.

“Sebanyak enam rakaman percakapan saksi termasuk suspek telah direkodkan dan kedua buah motosikal terlibat akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut,” katanya lagi.

Tambah Mohd Azam, tangkapan tidak dibuat memandangkan kondisi suspek dalam keadaan cedera parah dan sukar bergerak.

Oleh sebab itu, prosedur lanjut akan diambil setelah keadaan suspek kembali stabil.

Pada Rabu lalu, dalam kejadian sekitar jam 1.05 tengah hari, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Panigale, maut selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE.

Motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan lalu menghentam penghadang jejambat selepas didatangi sebuah motosikal dari arah bertentangan dalam keadaan melawan arus.

Show More

Related Articles

Back to top button