Sukan

Azizul sifatkan kemenangan semalam wakili “penerajang mautnya”

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyifatkan kemenangan beliau dalam acara pecut Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC), semalam adalah mewakili “penerajang maut” kepada mereka yang selalu mengganggu kehidupannya.

Tanpa menamakan individu yang menggangu kehidupanya itu, Azizul yang diberi julukan “The Pocket Rocketman” berkata, dalam perlumbaan akhir semalam, beliau seperti mendapat sumber kekuatan baharu.

Katanya, setelah memasuki selekoh terakhir perlumbaan, beliau hanya melihat ‘kejayaan’ dan seterusnya berjaya menewaskan pencabarnya dari Jepun, Kaiya dengan catatan 9.828s untuk merangkul pingat emas.

“Seperti mendapat sumber kekuatan baru, saya terus mara demi mara dan meninggalkan pihak lawan. Melepasi selekoh terakhir, saya sudah didunia yang berbeza. Apa yang saya nampak hanyalah kejayaan.

“Setiap henjutan ke atas pedal saat itu adalah mewakili penerajang maut untuk sialan-sialan yang sentiasa mengganggu kehidupan saya yang tak kacau orang.

“Apabila melepasi 10 meter terakhir, saya tahu yang kemenangan adalah milik saya dengan mutlak. Saya pun akhiri perlumbaan epik itu dengan trademark saya, wheelie.. ,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, Azizul yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, berjaya menamatkan kempen ACC dengan cemerlang selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara tersebut (9.523s) dalam aksi pusingan kelayakan.

Lebih manis lagi, kejayaan tersebut turut disambut oleh pengendalinya, John Beasley serta peminat-peminatnya di halaman sendiri iaitu di Velodrom Nasional, Nilai semalam.

Show More

Related Articles

Back to top button