Jenayah & Mahkamah

Suspek kes perlombongan haram disiasat SPRM meninggal dunia

PETALING JAYA – Seorang daripada tiga suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat berkaitan perlombongan haram di Pahang meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketika siasatan, pegawai kami mendapati lelaki itu seperti tidak sihat dan membawanya ke hospital dengan segera.

“Bagaimanapun, lelaki itu meninggal dunia ketika menerima rawatan,” kata beliau memetik laporan Utusan hari ini.

Azam berkata, SPRM memberi jaminan bahawa pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis yang menyiasat kejadian itu.

Kata beliau, pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan itu akan memberikan keterangan kepada polis berhubung kejadian tersebut.

“SPRM telah menyerahkan semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan siasatan polis,” ujarnya.

Terdahulu, tiga individu termasuk penjawat awam ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perlombongan haram serta pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM1.8 juta di Raub, Pahang.

Penahanan ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 40-an hingga 60-an itu dibuat pukul 6.30 petang di Bentong, Pahang kelmarin.

Menurut sumber, modus operandi sindiket ialah melakukan kegiatan perlombongan di luar kawasan perlombongan ditetap serta dibenarkan kepada syarikat mereka.

kata sumber itu, Mereka melakukan kegiatan perlombongan ini pada lewat petang hingga ke malam agar tidak dapat dikesan oleh pihak penguat kuasa serta cuba menyogok pihak berkuasa sekiranya kegiatan tersebut diketahui.

Sehubungan itu, 6 jentera pengaut dan “dumper truck” juga dipercayai disita.

Tambah sumber itu, mereka yang ditahan disyaki melakukan kegiatan ini sejak tiga tahun lalu dan pernah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa namun mereka masih berdegil untuk melakukan perbuatan tersebut.

Difahamkan, akibat kegiatan perlombongan haram berkenaan kerajaan Negeri Pahang telah mengalami kerugian kira-kira RM4.7 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button