Berita Semasa

Pelajar kena strok haba selepas berlari 4km

PEKAN – Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dilaporkan mengalami gejala strok haba setelah berlari sejauh 4 kilometer (km), semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nur Azimi Yunus berkata, pelajar berusia 15 tahun itu didapati tidak sedarkan diri semasa melakukan aktiviti di sebuah sekolah, di sini.

Kata Dr. Nur Azimi, pemeriksaan awal di Hospital Pekan mendapati pesakit mengalami simptom seperti suhu badan terlampau tinggi iaitu melebihi 39 darjah Celsius, degupan jantung meningkat serta percakapan dan fungsi otak terjejas.

“Satu kes heat exhaustion telah dirujuk dari Hospital Pekan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang. Beliau telah diberi rawatan hidrasi dan rawatan supportive.

“Pesakit dimasukkan ke ICU HTAA dan keadaan beliau semakin stabil,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan menghadkan aktiviti di luar ketika cuaca panas, gunakan pelindung diri dan sentiasa mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan serta sentiasa mengawasi gejala keletihan dan strok haba.

Orang ramai juga dinasihatkan agar mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas.

Show More

Related Articles

Back to top button