Berita Semasa

Kos PRN di 6 negeri dijangka RM420 juta

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan dijangka akan menelan belanja sebanyak RM420 juta.

Jawapan tersebut diberikan secara bertulis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang disiarkan dalam laman web Parlimen, hari ini.

Azalina memberikan jawapan tersebut bagi menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kos yang dijangka dibelanjakan dalam PRN di enam negeri terbabit.

PRN di enam negeri berkenaan dijangka akan berlangsung pada Ogos.

Azalina menambah, semua pihak yang terlibat dalam PRN berkenaan perlu mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) serta undang-undang lain yang berkaitan pilihan raya.

Menurut beliau, pada setiap kali penganjuran pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa memberi saranan kepada semua pihak supaya mengemukakan laporan kepada mana-mana jabatan dan agensi yang berkaitan.

Ini antaranya termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia jika terdapat mana-mana pihak melakukan kesalahan sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

“Ini bagi membolehkan tindakan dan siasatan segera diambil oleh jabatan/agensi tersebut.

“Bagi tujuan ini, SPR turut memerlukan kerjasama yang menyeluruh dan adalah tanggungjawab semua pihak serta pemegang taruh yang terlibat dalam memastikan urusan kempen pilihan raya dilaksanakan secara lancar dan teratur,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button