Politik

Pas sedia tawar kerusi untuk Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Atas kapasiti dan pengaruh yang ada pada Tan Sri Annuar Musa, Pas sedia menawarkan kerusi kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan selepas menyertai parti itu.

Bagaimanapun, keputusan itu belum ditentukan oleh Perhubungan Pas Kelantan untuk dibawa ke peringkat pusat, menurut Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.

Beliau berkata, Annuar sebagai bekas Ahli Parlimen Ketereh itu cukup berpengaruh dan diyakini mampu menambah kekuatan dan membantu Perikatan Nasional (PN) memperoleh kemenangan lebih besar.

“Saya yakin tidak ada masalah bagi PAS. Kita tidak tamak kuasa yang mana boleh memberi kebaikan kepada Islam, kita beri keutamaan,” katanya.

Annuar yang juga Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) sah menyertai PAS dengan perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyudin Hassan pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Senawang, kelmarin.

Annuar sebelum ini berkata, beliau tidak mengambil kira peluang untuk bertanding selepas menyertai Pas namun berhasrat melihat UMNO ditumbangkan.

Kata Annuar, jika diberikan mandat untuk bertanding, beliau perlu berbincang dengan pucuk pimpinan PAS bagi mengetahui tujuan beliau diamanahkan berbuat demikian.

Ujar bekas Setiausaha Agung Umno itu, beliau seharusnya dijadikan pilihan terakhir sebagai calon PAS dan menyerahkan segala urusan penentuan calon kepada pucuk pimpinan parti selain memaklumkan penyertaannya di dalam parti itu bukan sebagai calon semata-mata sebaliknya ikhlas untuk berjuang demi kepentingan agama dan bangsa Melayu.

Show More

Related Articles

Back to top button