Berita Semasa

30 ribu tidak duduki SPM, Anwar sindir Radzi tidak pantau

BANGI – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin susulan seramai 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2022.

Data KPM menunjukkan 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 tidak hadir menduduki peperiksaan.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang meminta laporan dan kajian teliti untuk dilakukan berkaitan perkara terbabit.

“Ini berlaku selepas pasca Covid-19 dan keadaan politik yang tidak tentu arah selain tidak ada dasar yang jelas.

“Bagaimana ada Menteri Pendidikan ketika itu, dan tak boleh pantau anak-anak yang tak ambil peperiksaan.

“Hanya selepas Fadhlina jadi Menteri, perkara ini dibongkar. Ini adalah masalah tetapi dalam kempen, dia (Radzi) tak sebut perkara ini,” katanya pada Program Cakna dan Dialog Malaysia Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, perkara tersebut membimbangkan dan merupakan masalah yang serius buat pendidikan negara.

Dalam pada itu, analisis KPM menunjukkan calon tidak hadir bagi SPM 2022 bertambah berbanding SPM 2021 yang merekodkan 10,681 calon daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.

Show More

Related Articles

Back to top button