Projek kecil seliaan JKR diserah ke jabatan lain – PM
PUTRAJAYA – Projek-projek kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif tidak sepatutnya tertumpu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sahaja malah, perlu penglibatan jabatan lain atau pejabat daerah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, satu pertemuan dengan semua pegawai daerah akan diadakan pada minggu hadapan bagi membincangkan pelaksanaan tugas tersebut.
“Saya sudah berbincang dengan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya) bahawa projek kerja raya umpamanya sekolah daif, klinik daif, baik pulih tandas, tak perlu lagi dibebankan kepada JKR.
“Pindahkan tugas itu kepada jabatan pejabat daerah dan Insya-Allah pada minggu depan, saya akan berjumpa dengan semua pegawai daerah untuk meminta mereka menjalankan tugas pelaksanaan di bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri di sini, hari ini.
Jelas Anwar, pengagihan tugas tersebut boleh mengurangkan beban JKR seterusnya boleh menumpukan perhatian kepada projek-projek besar seperti lebuh raya dan tebatan banjir.
“Projek besar penting seperti lebuh raya dan tebatan banjir tetapi projek tandas sekolah, parit tepi rumah, pagar masjid bocor itu juga penting termsuk penyaluran bantuan dan sebab itu saya bagi arahan supaya ia disegerakan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan semua projek rakyat yang sudah diputuskan perlu dilaksanakan dengan kadar segera.
Penegasan itu ditujukan kepada Jemaah Menteri dengan perbincangan di Kementerian Kewangan serta bersama Ketua Setiausaha Negara.
“Kita mengumumkan yang baik-baik tetapi pelaksanaan itu ialah ketimbang suku tahu pertama tahun lalu adalah lebih baik, tetapi jangan buat ukuran dalam keadaan ketika Covid-19.
“Oleh itu, saya ingin menggesa minggu ini dalam semua jabatan dan mesyuarat, lihat apa yang diluluskan dan apa yang mula dilaksanakan apa yang belum dilaksanakan, apakah kerana peruntukan tidak sampai, apakah kerana ditugaskan kepada kementerian lain,” katanya lagi.