Politik

Nama 10 ‘warlord’ UMNO sertai PN diumum dalam masa terdekat – Hamzah

KUALA LUMPUR – Senarai nama 10 ‘panglima perang’ yang disisihkan UMNO dan akan menyertai Perikatan Nasional (PN), akan diumumkan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini barisan kepimpinan PN sedang memuktamadkan urusan berkenaan dan nama-nama tersebut akan didedahkan pada program bersesuaian.

“Insya-ALLAH kita tengah buat perancangan dan akan umumkan dalam waktu terdekat untuk kita sesuaikan dengan program yang sudah kita aturkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, siang tadi.

Pada Khamis lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat maju jaya kepada beberapa bekas pemimpin parti itu yang akan menyertai PN sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris sebelum ini mendakwa sekurang-kurangnya 10 ‘warlord’ daripada UMNO dijangka akan menyertai PN sebelum PRN.

Selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar disebut-sebut antara individu yang akan menyertai PN.

Ditanya lanjut tentang perkembangan penyertaan Khairy dalam PN, Hamzah menjelaskan, perkara itu diserahkan kepada Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Biarlah perbincangan berlangsung antara bekas Ahli Parlimen Rembau itu dengan Tan Sri Muhyiddin,” kata Hamzah.

Dan ketika diasak dengan soalan sama ada Khairy mungkin bertanding sebagai calon PN pada salah satu PRN di enam negeri tidak lama lagi, Hamzah hanya tersenyum.

Show More

Related Articles

Back to top button