Berita SemasaPM X

Kekuatan nilai, akhlak baik lahirkan insan yang berilmu

KUALA LUMPUR – Kekuatan nilai dan akhlak yang baik merupakan antara elemen utama kepada peningkatan mutu pendidikan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpandukan nilai serta akhlak, negara dapat melahirkan insan yang berilmu dan akademis kerana mengamalkan prinsip agama.

“Tidak kurang pentingnya maksud dan matlamat pendidikan itu yang ditekankan Menteri Pendidikan sekarang adalah supaya kembali kepada agama.”

“Yang kita mahu tingkatkan itu adalah manusia dengan keyakinan dengan nilai dan akhlak itu kerana percubaan di banyak negara sangat berhasil memupukkan nilai dalam pendidikan,” katanya ketika berucap selepas menonton pementasan teater ‘Cikgu Anda’, di sini malam tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga mahu penguasaan bahasa kebangsaan dimartabatkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

“Kita juga perlu berusaha untuk meningkatkan disiplin ilmu supaya dapat berlumba dan bersaing (seiring dengan negara lain),” katanya sambil menambah tumpuan itu harus menjadi satu gerakan dan bukannya tertumpu kepada seorang tokoh sahaja.

Terdahulu, beliau menyaksikan pementasan teater berjudul “Cikgu Anda” yang diinspirasikan berkaitan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan.

“Cikgu Anda” diadaptasikan ke pentas untuk mengangkat nama Yayasan Anda Akademik (YAA) iaitu institusi pendidikan swasta yang diasaskan sekumpulan siswazah universiti tempatan dan dipelopori Anwar pada Mac 1971.

Show More

Related Articles

Back to top button