Politik

UMNO bukan mengkarung politik yang berubah wajah mengikut kehendak politik

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti itu tidak pernah bersikap ‘mengkarung politik’ yang boleh berubah wajah mengikut kepentingan sehingga sanggup menggadaikan prinsip.

Beliau berkata, perjuangan UMNO sebagai sebuah parti tidak pernah melanggar perkara-perkara asas yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan itu khususnya dalam memperjuangan agama, bangsa dan negara.

Sikap UMNO menurutnya sama sekali berbeza dengan sesetengah parti politik yang sanggup menetapkan fatwa sendiri mengikut kepentingan politik.

“UMNO bukan mengkarung politik. Kita tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu agama, bangsa, negara dan institusi di raja.

“Kita bukan seperti parti yang kita biasa dengar menggunakan ayat-ayat Allah sebagai sandaran untuk mengeluarkan pelbagai fatwa politik mengikut kepentingan politik sempit mereka,’’ katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sikap parti-parti yang kononnya menjadi penyelamat agama dan bangsa itu juga jelas berkepentingan apabila sanggup mengkafirkan UMNO ketika memperjuangkan isu hudud. 

Bagaimanapun katanya, parti yang pernah berada pada kedudukan sepakat dengan Pakatan Harapan seperti mana UMNO pada hari ini tetap gagal melaksanakan RUU355. 

“Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan dan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan.

“Semasa mereka berada di dalam kerajaan, mana perginya agenda Akta RUU355, mana dia?,’’ kata Timbalan Perdana Menteri itu. 

Justeru katanya, jelas sekali pemimpin-pemimpin parti tersebut hanya berselindung di sebalik kepentingan politik 

“Benarlah, mereka adalah mengkarung politik yang bukan sahaja berubah warna dan wajah tetapi lebih dahsyat, parti itu seolah-olah pemegang neraca di Yaumul Mahsyar’’ katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button