Politik

PRN: UMNO Negeri Sembilan sedia jadi penyumbang kerusi utama – Jalaluddin

KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan telah bersedia untuk menjadi penyumbang utama bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, parti itu juga kini berada dalam mood sedia dan solidariti pada tahap tertinggi, bagi memastikan negeri itu kekal milik Kerajaan Perpaduan.

” Menghadapi PRN di enam negeri tidak lama lagi, saya menyahut dengan penuh sedar dan bertanggungjawab bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menjadi penyumbang utama kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.

“Faktanya, kerajaan Negeri Sembilan yang ada kini adalah kerajaan yang ‘zero opposition’. Justeru, berlandaskan kepada senario di Negeri Sembilan yang harmoni, seimbang dan stabil, sewajarnya kerjasama Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) diteruskan bagi pembelaan rakyat yang lebih konsisten,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyahut ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru supaya ‘mempertahankan keindukan demi kestabilan’.

Sementara itu, menyentuh mengenai kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan politik daripada gabungan Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 hari ini, katanya, ia mencerminkan realiti politik Malaysia yang penuh dinamika.

“Realiti politik masa kini membawa kita kearah pembentukan ‘Unity Government’ bagi menyelesaikan polemik politik yang selama ini, merencatkan kestabilan dan menyekat penjanaan ekonomi negara serta rakyat.

“Bagi mengurus segala tohmahan atas keputusan UMNO membentuk ‘Unity Government’ ini adalah
serangan dan propaganda jahat di luar yang menyebut bahawa UMNO telah menggadaikan perjuangan asalnya, pada hari ini Presiden telah menyebut secara terang dan jelas bahawa UMNO tidak akan sesekali mengkhianati amanah agama, bangsa dan tanah air ini.

“Parti ini juga telah memberi penegasan kepada rakyat dan kepimpinan kerajaan semasa mengenai prinsip parti sebagai pelindung dan benteng kepada asas-asas keindukan bernegara, agar Islam, Institusi Beraja, Melayu/Bumiputera dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan terus dipertahan dan tidak dipertikai.

“UMNO yang kini tetap sama seperti dahulu dari segi nadi perjuangannya. Ia lahir atas nama kebangkitan rakyat dan maruah negara, tidak akan sesekali membiarkan Malaysia terpalit dengan mainan konflik politik yang akhirnya menghilangkan elemen kestabilan dalam negara,” tegasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button