Berita Semasa

Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara, di sini pagi ini.

Ismail Sabri dalam hantaran Facebook miliknya berkata, beliau menyembah maklum kepada baginda mengenai program-program yang dirancang di bawah Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

Beliau berkata, YKM bertanggungjawab untuk membantu anak-anak yatim yang kedua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 serta ibu bapa yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan bencana yang lain dari aspek kebajikan dan pendidikan.

“Patik menjunjung kasih di atas kesudian Tuanku untuk mencemar duli berangkat ke program YKM khususnya untuk bersama anak-anak yatim dalam waktu terdekat.

“Patik juga menjunjung kasih atas perkenan KDYMM Tuanku menerima patik menghadap dan atas keprihatinan Tuanku untuk membantu anak-anak yatim YKM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar baginda sentiasa dirahmati Allah SWT, sihat walafiat dan dipanjangkan umur serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat-Nya.

Show More

Related Articles

Back to top button