Jenayah & Mahkamah

Curi motosikal: Geng Faiz Tanah Merah tumpas

MELAKA – Kes kehilangan motosikal yang dilaporkan aktif di daerah Melaka Tengah beberapa bulan lalu, akhirnya terbongkar selepas polis berjaya menangkap enam individu, termasuk seorang wanita dan seorang remaja berusia 13 tahun, dikenali Geng Faiz Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata operasi pertama berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita di Tangga Batu, kira-kira jam 11.30 pagi.

Jelasnya, tangkapan itu dibuat susulan pihaknya menerima laporan membabitkan kehilangan motosikal di Taman Malim Jaya pada April lalu.

“Hasil laporan diterima dan juga risikan, polis ke sebuah rumah di Bukit Tempayan dan menahan tiga suspek termasuk seorang wanita.

“Seorang daripada suspek lelaki sebelum itu cuba melarikan diri, tapi berjaya dicekup. Polis trut merampas dua motosikal dan komponennya,” katanya.

Tambahnya lagi, penahanan tiga suspek itu kemudian membawa kepada tangkapan tiga lagi rakan mereka di tiga lokasi berlainan.

“Siasatan mendapati setiap motosikal dicuri akan diubah suai dan dileraikan untuk dijual serta bagi kegunaan sendiri. Semakan juga mendapati lima suspek mempunyai rekod kes jenayah antaranya dadah dan curi bagaimanapun suspek remaja tiada rekod,” katanya.

Christopher berkata, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes curi, termasuk samun motosikal di negeri ini dengan penahanan semua individu berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 413, Seksyen 379A dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Show More

Related Articles

Back to top button