Berita Semasa

Laporan tanah runtuh Batang Kali diumum hujung bulan ini

CYBERJAYA – Laporan tragedi tanah runtuh Batang Kali yang berlaku pada 16 Dis tahun lepas, akan diketahui hujung bulan ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan membentangkan hasil penemuan itu kepada Jemaah Menteri sebelum dimuktamadkan bagi membolehkan pihak terlibat mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya memahami banyak pihak termasuk keluarga mangsa yang terjejas ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir kejadian berkenaan, justeru saya memberi jaminan JKR (Jabatan Kerja Raya) sedang melakukan usaha terbaik untuk melengkapkan proses ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Alexander, antara elemen diambil kira dalam menyiapkan laporan itu termasuk ujian penyiasatan tanah di lapangan dan makmal serta penganalisaan data.

“Data daripada ujian ini penting untuk dianalisis bagi menentukan mekanisme kegagalan oleh pelbagai pakar termasuk dari aspek kejuruteraan geoteknik dan geologi,” katanya.

Semalam, Berita Harian melaporkan kira-kira 30 mangsa dan waris tragedi tanah runtuh di Batang Kali, yang berlaku 16 Dis lalu, menuntut siasatan telus yang mendedahkan punca sebenar runtuhan tanpa sebarang cubaan untuk menyembunyikan atau mengelak tanggungjawab.

Mereka mendakwa, beberapa urusan tidak dapat diselesaikan khususnya membabitkan tuntutan insurans kenderaan yang musnah kerana tiada laporan penuh siasatan walaupun kejadian sudah enam bulan berlalu.

Kejadian pada awal pagi itu meragut 31 nyawa, termasuk 13 kanak-kanak.

Seramai 61 lagi mangsa berjaya diselamatkan semasa operasi mencari dan menyelamat di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm tersebut.

Penemuan awal KKR menunjukkan terdapat retakan di sepanjang jalan atas cerun bukit dan pengumpulan air bawah tanah di bawah tapak perkhemahan mungkin menyebabkan tanah runtuh.

Show More

Related Articles

Back to top button