Luar Negara

PM Denmark bagi ucapan dikarang ChatGPT

BERN – Bagi membuktikan ancaman penguasaan teknologi kecerdasan artificial (AI), Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen baru-baru ini menyampaikan ucapan yang dihasilkan menggunakan salah satu daripada perisian berteknologi AI iaitu ChatGPT dalam parlimen negara itu.

Dalam ucapannya, Frederiksen kemudian mendedahkan bahawa apa yang disampaikan bukanlah hasil daripada tulisannya sebaliknya ditulis menggunakan ChatGPT. 

Beliau berpendapat, revolusi aplikasi itu mempunyai risiko yang boleh mengancam kemahiran dan kebolehan manusia selain mencetuskan ‘malapetaka’ di dunia Internet.

“Apa yang saya baru baca di sini bukan dari saya atau mana-mana manusia lain berkaitan hal ini.

“Walaupun ia tidak selalu menjelaskan situasi sebenar dari segi perincian program kerja kerajaan dan tanda baca, ia adalah menarik dan menakutkan melihat apa yang mampu dilakukan aplikasi ini,” kata Frederiksen.

ChatGPT menjadi tumpuan akhir tahun lalu, menunjukkan keupayaan untuk menghasilkan esei, puisi dan perbualan daripada arahan yang paling ringkas.

Kejayaan program itu meningkatkan pelaburan berbilion dolar ke dalam bidang tersebut tetapi pengkritik membangkitkan kebimbangan tentang kesannya kepada masyarakat.

Antara yang paling dikhuatiri, termasuk kemungkinan chatbot boleh membanjiri web dengan maklumat yang salah, algoritma berat sebelah, menghasilkan bahan perkauman atau automasi berkuasa AI yang boleh membazirkan seluruh industri.

Sekumpulan ketua dan pakar industri, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman turut memberi amaran tentang potensi ancaman kepupusan yang ditimbulkan oleh teknologi itu.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button